Ya
Allah, sudah 25 tahun aku
bernaung di bawah langitMu. Belum pun terasa menjadi hambaMu
yang sebenar. Masih berpura-pura. Alangkah alpa dan berdosanya aku.
Apakah sisa umurku masih panjang? Atau, hanya seketika lagi? Aku tidak
pasti.
Ketika
ramai teman mengucapkan selamat panjang umur, hakikatnya umurku semakin
pendek. Bukankah tarikh mati setiap insan sudah ditetapkan? Hari ini,
esok dan lusa aku menapak lagi. Semakin hampir pada tarikh kematian
yang dijanjikan. Tertipunya aku ketika menerima ucapan selamat
hari lahir. Namun, selamatkah hari matiku?
Aku
belum bersedia untuk bertemuMu Ya Allah. Walaupun aku tahu, siapalah
aku untuk menyatakan tidak dan tunggu. Ya Allah, segala kekuatan hanya
padaMu jua. Kau yang Maha Tahu apa yang terbaik buat diriku. Aku merayu
padaMu Ya Allah, pada tarikh ini untuk mengemis keampunanMu dengan
tangan yang berdosa, dengan hati yang sentiasa dicalar dosa. Jika tidak mengenangkan
yang Engkau Maha Pengampun, aku tidak akan datang Ya Allah. Rasa malu
dan hina untuk meminta. Apakah aku diterima?
Ya Allah, pada hari ini, ku pinta
leraikanlah segala kekusutan di fikiranku. Mohon dijinakkan nafsu
liarku. Tenangkanlah gelojak hati ini. Wahai Yang Maha Adil, kutiplah
aku untuk menumpang sekalipun di pinggir rahmatMu. Walau sering aku
lupa, namun aku sentiasa mendamba.
Aku
kembara telah jauh, namun kolam hatiku kian keruh. Beban bertambah
berat, diriku kian penat. Urusan kian payah, jiwa semakin gundah.
Justeru mudah-mudahan di hari lahirku ini aku akan 'dilahirkan' semula.
Lahir sebagai insan yang sentiasa mengingatiMu. Yang mampu hidup antara kekangan takut dan lingkungan harap. Takut, kalau-kalau dimurkai. Harap, minta-minta diampuni.
Buat sahabat, teman dan kenalan, terima kasih di atas ingatan kalian. Pada yang jauh, maafkanku kerana gagal mendekat. Pada
yang hampir, maaf kerana tidak pandai membelai. Dalam kehidupan ini, kerap kali yang kita lihat sebagai satu pengakhiran rupa-rupanya adalah suatu permulaan yang baru. Mudah-mudahan, ini adalah permulaan yang baik. Ameen Ya Rabbal 'Alamin.
P/s :: [Happy Birthday Niadeanna]. 25 years Old, too little too late.
[ Shortest love stOry. She found Allah and lived happily ever after. Insyaallah. ] |
P/s :: [Happy Birthday Niadeanna]. 25 years Old, too little too late.
1 cOmments (",):
slmt ulang taon!
Post a Comment